1. Teknik bercerita merupakan satu teknik untuk menyalurkan sesuatu maklumat
melalui perkataan, gambar dan bunyi yang sering kali dilakukan melalui teknik
improvisasi. Cerita atau naratif telah lama dikongsi dalam setiap budaya sebagai
hiburan, pelajaran, penyampaian budaya dan menyampaikan nilai-nilai kepada
masyarakat. Elemen yang penting dalam teknik ini ialah plot, watak dan persoalan
sesuatu cerita.
Bentuk penceritaan yang paling awal mempunyai kombinasi lisan berserta mimik
muka dan gaya badan. Masyarakat peribumi Australia melukis simbol daripada cerita
yang didengar pada dinding gua untuk membantu pencerita mengingati cerita. Seiring
dengan peredaran zaman dan peradaban, cerita-cerita yang didengar kemudiannya
ditulis di atas kayu, buluh, tulang,batu, kulit kayu,kulit binatang, kertas,sutera, kanvas,
dirakam pada filem dan disimpan dalam bentuk digital.
Terapi bercerita merupakan satu medium untuk berkomunikasi antara ahli terapi
dan klien. Komunikasi ini digunakan sebagai terapi psikologi untuk meyakinkan klien
untuk membangunkan atau meningkatkan diri mereka melalui satu kaedah yang telah
dipersetujui antara ahli terapi dan klien.
Terapi bercerita merupakan salah satu terapi yang mengetengahkan konsep
bercerita sebagai idea utama dalam terapi bercerita. Pada masa yang sama, ahli teoris
menganggap bercerita adalah satu cara yang berkesan untuk membina rapo. Di
samping itu, terapi ini dapat mengenali kanak-kanak dengan lebih mesra lagi. Semasa
mereka menyampaikan cerita masing-masing, kanak-kanak berkongsi maklumat
penting mengenai diri serta keluarga mereka, di samping melahirkan perasaan yang
terpendam. Akibatnya, guru bimbingan dan kaunseling lebih memahami konflik kanak-
kanak serta dinamika keluarga mereka.
Selain daripada itu, melalui terapi ini murid dapat menyerap nilai-nilai
pembelajaran melalui watak di dalam sesebuah cerita tanpa memikirkan tentang
masalah mereka sendiri. Murid yang telah melalui pengalaman yang menakutkan akan
memproses pengalaman tersebut dan secara tidak langsung akan belajar untuk
mempercayai dan rasa selamat apabila mengingati pengalaman yang lalu dengan
pandangan yang positif.
2. Terapi bercerita sesuai dijalankan secara berkelompok ataupun individu.
Kaunseling kelompok melibatkan perhubungan individu yang menekankan aspek
kekuatan, fikiran, perasaan dalam aktiviti pembelajaran, peribadi dan sosial. Corey
(1981). Oleh sebab itu pelaksanaan terapi bercerita dalam kelompok memudahkan
perkongsian pengalaman antara ahli kelompok. Namun demikian penggunaan teknik ini
dalam kaunseling kelompok memerlukan syarat proses kaunseling berpusatkan klien
iaitu empati, penerimaan tanpa syarat, dan kongruen/ keikhlasan.