1. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 79
_______________________________________________________________________________
UNIT 6
INTEGRASI DALAM KURIKULUM
SEKOLAH RENDAH
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini anda akan dapat:
1. menerangkan konsep kurikulum bersepadu yang dilaksanakan di sekolah
rendah.
2. menjelaskan konsep pengintegrasian dalam kurikulum dan pengajaran di sekolah
rendah.
3. menjelaskan bagaimana kesepaduan terdapat dalam KBSR/KSSR dapat
dilaksanakan.
PETA KONSEP TAJUK
Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah
Kurikulum Pengintegrasian
Bersepadu dalam Kurikulum
dan pengajaran
Kesepaduan Dalam Kesepaduan Dalam
KBSR KSSR
2. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 80
_______________________________________________________________________________
PENGENALAN
Sebagai yang telah dimaklumi pengertian serta matlamat pendidikan boleh dilihat
daripada pelbagai perspektif. Dari satu sudut, pendidikan boleh dilihat sebagai proses
sosialisasi dan pembudayaan ahli atau bakal ahli masyarakat. Pendidikan juga boleh
dilihat sebagai satu pelaburan yang membolehkan seseorang mendapat kedudukan dari
sudut kewangan mahupun status sosial. Dari sudut kenegaraan pula, melalui pendidikan
akan terbina warga negara yang mempunyai sikap dan nilai patriotisme, tahu tentang
hak dan tanggungjawab sebagai warganegara. Di negara ini, sektor pendidikan adalah
dianggap sebagai wahana bagi pembangunan insan dan pembangunan negara.
Sehubungan itu, pelaksanaan pendidikan dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu
bagi mencapai tujuan tersebut. Usaha yang dilakukan ialah bagi mencungkil, memupuk,
mengembang dan meningkatkan bakat serta potensi murid secara menyeluruh daripada
aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh yang demikian, kurikulum perlu dibentuk
dan disusun berteraskan beberapa objektif seperti memperkembangkan potensi kanak-
kanak secara harmonis, menyeluruh dan bersepadu; membina suasana pembelajaran
yang baik bagi meningkatkan daya fikir; mencari kebenaran; dan menyelesaikan
masalah. Pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) di Malaysia
adalah bagi mendukung dan menjayakan konsep kurikulum bersepadu ke arah
merealisasikan hasrat yang terkandung dalam FPK. Sebelum pelaksanaan KBSR,
kurikulum di sekolah rendah telah dikenal pasti tidak relevan dengan kehendak dan
matlamat sistem pendidikan negara. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pula
di bangunkan berasaskan kepada prinsip-prinsip KBSR.
ISI KANDUNGAN
Asas berkaitan pengertian kurikulum
Mengikut pengertian umum kurikulum ialah pelajaran ataupun mata pelajaran yang
disediakan oleh sekolah. Walau bagaimanapun ada yang lebih perseptif dengan melihat
kurikulum sebagai program pendidikan bagi mencapai sesuatu matlamat tertentu.
Kurikulum juga boleh bererti apa yang guru hendak mengajar dan apa yang murid perlu
belajar (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2008). The International Encyclopedia of
Curriculum pula telah mengaitkan hubungan antara kurikulum dan pendidikan dengan
menyatakan bahawa proses pendidikan tidak dapat dijelaskan sepenuhnya tanpa
merujuk kepada komponen kurikulumnya. Ia itu saling pentingnya antara kurikulum
dengan pendidikan.
Apakah konsep kurikulum bersepadu?
Konsep kurikulum bersepadu dikenalpasti dilaksanakan di sekolah-sekolah di Amerika
Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia. Rakyat di negara tersebut
menganggap kesepaduan dalam kurikulum ialah sebagai usaha yang bersifat futuristik
(Passe, 1999). Contohnya di Amerika Syarikat, unsur-unsur sains adalah dianggap
sebagai unsur-unsur yang penting dan perlu disepadukan dalam semua mata pelajaran
di sekolah-sekolah secara merentas kurikulum (Wiles & Bondi, 1998). Contoh lain ialah
konsep pembelajaran berasaskan minda (brain based learning), yang kini banyak
3. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 81
_______________________________________________________________________________
diintegrasikan ke dalam kurikulum hingga kurikulum dan pengajaran bersifat sepadu;
diperkaya (enriched) serta mantap; seterusnya menjadi laluan ke arah pembelajaran
seumur hidup (Forgaty, 2002; Passe, 1999). Secara amnya pelaksanaan konsep
kurikulum bersepadu telah dipraktikkan secara meluas dalam sistem pendidikan di Barat
bagi memberi manfaat kepada perkembangan potensi murid.
Pelaksanaan konsep kurikulum bersepadu mempunyai banyak implikasi positif kepada
murid. Menurut Passe (1999), kebaikan pelaksanaan konsep kurikulum bersepadu
dilihat dari sudut ‘the whole is greater than the sum of its parts’ selain daripada melihat
bahawa ‘no subject is sufficient by itself’. Secara amnya dalam sesuatu proses
pembelajaran, kepelbagaian pengetahuan; kemahiran atau pengalaman; dan nilai-nilai
daripada perspektif yang pelbagai, saling berhubung kait antara satu dengan lain di
dalam minda bagi menghasilkan sesuatu yang bermakna untuk kegunaan ketika
menghadapi situasi atau menangani masalah yang sedang dihadapi (Caine & Caine,
1991; Fogarty, 2002; Weber, 2005). Sehubungan itu, proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah seharusnya bergerak di bawah konsep kurikulum
bersepadu seperti tersebut dengan mengambil kira kepelbagaian perkara daripada
pelbagai aspek atau dimensi.
AKTIVITI 6.1
Menurut Passe (1999), kebaikan konsep kurikulum bersepadu dilihat dari
sudut ‘the whole is greater than the sum of its parts’ selain melihat ‘no subject
is sufficient by itself’. Kaitkan rasional tersebut dengan perubahan daripada
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah.
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
4. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 82
_______________________________________________________________________________
Integrasi kurikulum dan pengajaran dalam kurikulum
bersepadu?
Proses pengajaran dan pembelajaran yang melaksanakan kurikulum bersepadu ialah
laluan untuk berlakunya konsep pembelajaran berasaskan minda. Mengikut konsep
pembelajaran berasaskan minda, proses pembelajaran akan lebih berkesan jika berlaku
sinaps di dalam otak manusia; iaitu pelbagai sel neuron dalam otak saling berhubung
antara satu dengan yang lain di bahagian dendrit; terutama apabila impuls dihantar dan
diterima oleh sel-sel neuron. Ingatan seseorang akan sentiasa diperkukuh melalui
pembinaan sinaps yang baru. Sehubungan itu jika impuls terhasil daripada persekitaran
yang kaya dengan pelbagai rangsangan, maka pembelajaran akan menjadi lebih mudah
serta bermakna kerana sinaps akan sering berlaku. Sebaliknya jika murid tidak
terangsang oleh sebarang rangsangan, maka dendritnya juga tidak akan terangsang dan
sinaps tidak berlaku; akibatnya pembelajaran menjadi kurang berkesan atau tidak
berlaku langsung. Oleh yang demikian, persekitaran pembelajaran harus diperkayai
dengan pelbagai rangsangan agar pembelajaran menjadi lebih berkesan. Integrasikan
pelbagai elemen dalam kurikulum dan pengajaran dalam kurikulum bersepadu boleh
mewujudkan pelbagai rangsangan yang dimaksudkan seterusnya menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan lebih berkesan.
Beberapa pendekatan boleh diambil dalam usaha untuk mengintegrasikan sesuatu
elemen, ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Passe (1999) mencadangkan
pendekatan adaptasi ke dalam kurikulum yang sedia ada; iaitu mengadaptasikan
sesuatu elemen kemahiran atau elemen nilai ke dalam mata pelajaran yang sedia ada.
Sesuatu elemen contohnya kemahiran berfikir boleh diadaptasikan ke dalam pengajaran
sesuatu mata pelajaran yang sedia ada. Fogarty (2002) pula mencadangkan
pengintegrasian secara nested. Dalam pengintegrasian secara nested, guru
mensasarkan beberapa isi pelajaran; atau beberapa kemahiran, contohnya kemahiran
sosial atau kemahiran berfikir, ke dalam sesuatu mata pelajaran. Melalui pendekatan
adaptasi mahupun pendekatan nested, sesuatu kurikulum bersepadu mempunyai sifat
kaya dengan pengetahuan, kemahiran, nilai dan elemen berguna yang diperlukan oleh
murid bagi tujuan perkembangan semua potensi intelek, rohani, emosi dan jasmani
secara harmonis, menyeluruh dan bersepadu.
Pengintegrasian ialah cara yang diguna dalam kurikulum bersepadu untuk
mengintegrasikan sesuatu elemen tertentu ke dalam kurikulum yang sedia ada.
Pengintegrasian dalam pengajaran dapat menyepadukan sesuatu elemen tertentu,
contohnya elemen kemahiran berfikir ke dalam sesuatu mata pelajaran. Bagi
melaksanakannya, elemen tertentu akan diintegrasikan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, di samping menyampaikan isi kandungan dan mencapai objektif sesuatu
proses pengajaran dan pembelajaran. Secara umumnya, pengintegrasian ialah salah
satu cara yang diguna pakai oleh guru bagi menyepadukan elemen seperti kemahiran
berfikir, kemahiran multilingual, nilai murni dan nilai patriotisme dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Menurut Armstrong (2000), elemen kecerdasan pelbagai
juga boleh diintegrasikan ke dalam kurikulum yang bersifat sepadu. Sehubungan itu, di
bawah konsep kurikulum bersepadu, sesuatu kurikulum berkeupayaan untuk
memperkembangkan semua potensi murid secara seimbang, harmonis dan menyeluruh
selain daripada membina suasana pembelajaran yang kondusif ke arah
mempertingkatkan daya fikir; mencari kebenaran; dan menyelesaikan masalah.
5. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 83
_______________________________________________________________________________
Apakah konsep integrasi terdapat dalam KBSR?
Dalam KBSR, konsep integrasi lebih dikenali sebagai kesepaduan. Konsep kesepaduan
dalam KBSR membawa maksud penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, bahasa
dan pemupukan nilai-nilai murni dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu. Ini kerana
dalam KBSR, pendidikan adalah bagi pembangunan individu insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. KBSR dirancang untuk
membolehkan setiap orang murid memperoleh kemahiran, mengembangkan bakat, nilai,
pengetahuan, sikap dan amalan yang dikehendaki. Bagi tujuan ini, pelaksanaan KBSR
perlulah mengintegrasikan perkara-perkara berikut:
• Teori dengan amali
• Pengetahuan dengan kemahiran
• Pengetahuan dan kemahiran dengan nilai
• Pengalaman dalam bilik darjah dengan pengalaman luar bilik darjah
• Pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam sesuatu mata pelajaran dengan
pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam mata pelajaran lain.
• Bahasa merentas kurikulum
Kesepaduan
Unsur Intelek,
Rohani, Emosi
dan Jasmani
Penekanan
Pendidikan
Kepada Nilai
Untuk Semua
Murni
Konsep
Integrasi
Dalam KBSR
Penggunaan
Pendidikan
Pengetahuan
Sepanjang
dan Kemahiran
Hayat
Meningkatkan Sedia Ada
Penggunaan
Bahasa Melayu &
Bahasa Inggeris
serta bahasa
pengantar yang
lain.
Rajah 6.1
Konsep Kesepaduan Dalam KBSR
6. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 84
_______________________________________________________________________________
Dari segi prosesnya pula, pelaksanaan KBSR meliputi konsep-konsep berikut:
• Pendekatan bersepadu
• Perkembangan individu secara holistik
• Pendidikan untuk semua
• Pendidikan sepanjang hayat
Pendekatan Bersepadu
Dalam pendekatan ini elemen ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai adalah dilihat
secara bersepadu bagi perkembangan individu yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. John Dewey, Maria Montessori, Franklin Bobbit, Ralf Tyler dan lain-lain ialah
antara mereka yang melihat murid-murid sebagai sumber utama kepada sesuatu
kurikulum yang digubal. Apa yang difikir tentang kurikulum perlulah ada kaitan dengan
pengalaman yang dilalui oleh murid-murid. Dewey juga percaya adalah tidak wajar
mengasingkan (compartmentalise) antara ilmu pengetahuan dengan pengalaman serta
lain-lain elemen yang berkaitan.
Perkembangan Individu Secara Holistik
Konsep perkembangan individu secara holistik adalah selaras dengan kehendak FPK.
Dalam FPK, pendidikan negara adalah sebagai usaha yang komprehensif dan
berterusan untuk melahirkan individu yang bersahsiah baik, berketrampilan seterusnya
seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kurikulum dan
pengajaran juga tidak mengenepikan kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah
Tuhan. Individu insan yang dilahirkan melalui proses pendidikan perlu mempunyai ilmu
pengetahuan; mempunyai kemahiran; mempunyai pemikiran kreatif; rasional;
mempunyai akhlak yang mulia; dan seterusnya mampu memberi sumbangan ke arah
kesejahteraan diri, keluarga dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Pendidikan Untuk Semua
Setiap insan telah dijanjikan rezeki masing-masing oleh Yang Maha Pencipta.
Sehubungan itu juga kita sering mendengar ungkapan seperti berikut:
Yang pekak membakar meriam
Yang buta menghembus lesung
Yang lumpuh menghalau ayam
Yang pekung menjemur jemuran
Yang kurap memikul buluh
Ungkapan tersebut memberi gambaran kepada kita bahawa setiap individu mempunyai
potensi yang tersendiri dan mampu memainkan peranan masing-masing untuk
kepentingan diri dan memberi sumbangan kepada orang lain. Oleh yang demikian hak
setiap individu tidaklah boleh dinafikan sama sekali walau apa pun keadaan mereka.
7. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 85
_______________________________________________________________________________
Sehubungan itu pendidikan perlu diberi kepada setiap individu mengikut kapasiti masing-
masing.
Dalam kelas-kelas KBSR yang biasa murid-murid perlu diberi peluang untuk menimba
pengetahuan dan kemahiran secara adil dan saksama. Sehubungan itu murid-murid
biasanya akan diagihkan mengikut kumpulan berasaskan keupayaan mereka. Kepada
kumpulan murid yang cerdas aktiviti pengayaan akan dilakukan. Manakala bagi murid-
murid yang lemah aktiviti pemulihan pula akan diberi.
Pendidikan Sepanjang Hayat
Sebagai yang dihasratkan dalam FPK, secara prosesnya pendidikan adalah usaha yang
berterusan, sehubungan itu pendidikan perlu berlangsung sepanjang hayat. Manusia
mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan
perkembangan akan menyebabkan perubahan terus berlaku pada individu dari semasa
ke semasa. Oleh yang demikian adaptasi kepada perubahan tersebut memerlukan
latihan kemahiran baru mahupun pendidikan yang berterusan. Selain itu, persekitaran
yang terus berubah dari semasa ke semasa juga menuntut kepada keterampilan yang
perlu sentiasa dipertingkatkan. Melalui konsep pendidikan sepanjang hayat,
kesinambungan dalam kehidupan dapat berlangsung dengan lancar. Pendidikan adalah
bersifat wajib dan berterusan iaitu dari buaian hingga ke liang lahat. Konsep berkaitan
dengan perkara ini memang terkandung dalam Al-Quran dan hadis. Pendidikan
sepanjang hayat telah dikenal pasti perlu dalam usaha membangunkan modal insan
selain daripada memperkembangkan minat, bakat serta domain afektif individu. Ini juga
diakui oleh pendidik barat seperti Jean Jacques Rousseau yang mana beliau pernah
mengatakan pendidikan adalah usaha yang terus menerus sejak dari alam kanak-kanak
lagi. Sehubungan itu dalam kurikulum dan pengajaran di sekolah, pelajar-pelajar perlu
disemai dengan sikap dan semangat untuk terus menuntut secara berterusan.
Apakah maksud penggabungjalinan dan penyerapan?
Bagi melaksakanan pengajaran yang berasaskan kepada kurikulum bersepadu,
pelaksanaan KBSR menggunakan pula konsep penggabungjalinan, penyerapan dan
penerapan.
Penggabungjalinan
Penggabungjalinan yang dimaksudkan dalam KBSR ialah sebagai proses
menggabungkan pelbagai kemahiran yang relevan ke arah pembelajaran murid yang
integratif dan menyeluruh bagi sesuatu mata pelajaran. Penggabungjalinan kemahiran
boleh dilihat daripada tiga sudut seperti berikut :
• Penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran.
8. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 86
_______________________________________________________________________________
(contoh: Kemahiran kira dharab dan kira tolak dalam pengajaran kira
bahagi; kemahiran membina ayat dalam kemahiran menulis
karangan pendek; dan sebagainya)
• Penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain ke dalam
sesuatu mata pelajaran.
(contoh: Kemahiran melukis bulatan, segitiga, segiempat dll. daripada mata
pelajaran Seni Visual dalam pembelajaran Matematik dan
sebagainya)
• Penggabungjalinan kemahiran secara merentas kurikulum.
(contoh: Kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK), kemahiran
menaakul, kemahiran menyelesai masalah, kemahiran
berkomunikasi, kemahiran ICT dan sebagainya seboleh mungkin
dalam pengajaran semua mata pelajaran)
Penyerapan
Dalam penyerapan, berlaku proses mengintegrasi atau menyatupadukan
pengetahuan am atau pengetahuan daripada mata pelajaran lain ke dalam
pengajaran sesuatu mata pelajaran. Sebagai contoh, guru mengambil petikan atau
artikel sains daripada mata pelajaran Sains bagi aktiviti bacaan dan kefahaman
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Maklumat atau pengetahuan am juga boleh
disentuh dan dihubungkaitkan dalam pengajaran guru. Melalui cara ini aktiviti
pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik selain penguasaan ilmu
pengetahuan yang menjadi lebih luas oleh murid. Konsep penerapan dalam hal ini
membawa maksud proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan
gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai yang diterapkan adalah termasuk nilai-nilai
murni KBSR, nilai kewarganegaraan, nilai kemasyarakatan, nilai alam sekitar, nilai
kemanusiaan, ketuhanan dan sebagainya.
Apakah konsep integrasi terdapat dalam KSSR?
Konsep integrasi seperti yang terdapat dalam KBSR terus berlangsung walaupun
KBSR telah ditransformasikan kepada KSSR. Elemen pengetahuan, kemahiran dan nilai
yang disepadukan dalam KBSR seperti nilai murni, patriotisme, nilai alam sekitar,
kesihatan sosial, keselamatan jalan raya, sains dan teknologi, KBKK dan lain-lain akan
terus diberi penekanan dalam KSSR selain elemen merentas kurikulum (EMK).
9. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 87
_______________________________________________________________________________
Penekanan Konsep 5P
Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dalam
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menekankan konsep
penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan
penilaian. Hal ini selaras dengan usaha memenuhi konsep
bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
… Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM. 2011
Elemen Merentas Kurikulum (EMK)
EMK diperkenalkan dalam KSSR sebagai tambahan kepada aspek-aspek yang
disepadukan dalam KBSR dan sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti
pelaksanaan KSSR.
Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang
diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain
yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen-elemen ini
diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan
keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat
menangani cabaran semasa dan masa hadapan.
http://www.moe.gov.my/bpk/
EMK dalam KSSR merujuk kepada penyepaduan tiga elemen iaitu:
• kreativiti dan inovatif
• keusahawanan
• teknologi maklumat dan komunikasi
Dalam pelaksanaan KSSR, EMK perlu disepadukan di dalam semua disiplin ilmu. KPM
(2010) telah memberi rasional tentang kepentingan EMK iaitu, ketiga-tiga elemen dalam
EMK tersebut sebagai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21. Selain itu, EMK
dikatakan penting untuk pembangunan negara, iaitu daripada Perspektif Wawasan 2020
yang mana Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian. EMK juga dikatakan
selaras dengan pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) iaitu memperkembangkan
budaya keusahawanan dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Melalui konsep
EMK juga, ICT akan dijadikan sebagai pengupaya dalam pelaksanaan proses
pengajaran dan pembelajaran, selain ICT dipelajari sebagai mata pelajaran.
10. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 88
_______________________________________________________________________________
RUMUSAN
Unit ini telah menerangkan konsep tentang kurikulum bersepadu secara umumya. Unit
juga seterusnya menjelaskan tentang pengajaran yang mengintegrasikan elemen-
elemen yang dikenal pasti penting dalam perkembangan pelajar di peringkat sekolah
rendah selaras dengan perkembangan potensi secara menyeluruh, harmonis, seimbang
dan bersepadu. Unit ini juga telah menjelaskan bagaimana pengintegrasian tersebut
dapat berlangsung dalam KBSR/KSSR.
KATA KUNCI
Kurikulum bersepadu - Kurikulum yang secara eksplisitnya tidak hanya
menjurus kepada sesuatu domain, bidang atau aspek
tertentu sahaja, sebaliknya lebih menyeluruh dengan
mengintegrasikan pelbagai domain, bidang atau aspek
yang bersangkutan yang dikenalpasti relevan atau
selaras dengan perkembangan seimbang murid-murid.
Elemen merentas kurikulum - EMK ialah elemen yang disepadukan dalam KSSR
(EMK) secara merentas kurikululm melibatkan tiga elemen
iaitu kreativiti dan inovatif; keusahawanan; serta
teknologi maklumat dan komunikasi selain elemen-
elemen yang diberi penegasan dalam KBSR.
Pendidikan secara holistik - Selaras dengan FPK pendidikan sebagai usaha yang
komprehensif dan berterusan untuk melahirkan individu
yang bersahsiah baik, berketrampilan seterusnya
seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani serta tidak mengenepikan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
PENILAIAN KENDIRI
Jawab semua soalan berikut.
1. Selain daripada yang terkandung dalam sukatan pelajaran, aspek-aspek lain juga
diberi penegasan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti
kekemasan, kebersihan, ketepatan masa dan lain-lain. Penegasan guru kepada
perkara tersebut dalam kurikulum dan pengajaran adalah ________________
A. bagi mengurangkan beban dan tugas guru disiplin di sekolah.
B. untuk menampung lompang yang ada dalam sesuatu mata pelajaran.
C. untuk mengisi masa senggang yang terdapat dalam sesi pembelajaran.
D. selaras dengan perkembangan murid secara seimbang dan menyeluruh.
11. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 89
_______________________________________________________________________________
2. Apakah implikasi konsep kesepaduan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran KBSR?
I. Penerapan nilai murni
II. Pemerolehan ilmu pengetahuan
III. Pertambahan bilangan tajuk pelajaran
IV. Pertambahan peruntukan masa pembelajaran
A. I dan II sahaja
B. III dan IV sahaja
C. I, II dan III sahaja
D. I, II, III dan IV
3. Manakah antara berikut boleh diklasifikasikan sebagai kebaikan pelaksanaan
konsep kesepaduan dalam KBSR?
A. Banyak lagi mata pelajaran baru boleh diajar di sekolah.
B. Buku teks dapat dijadikan sebagai satu-satunya bahan pembelajaran.
C. Perkara yang tidak boleh dijadikan mata pelajaran boleh digabung dalam
mata pelajaran yang ada.
D. Dapat menetapkan secara spesifik sesuatu tujuan mata pelajaran supaya
tidak berlaku pertindanan
4. Terdapat pelbagai pendekatan bagi mengintegrasikan sesuatu aspek atau
elemen ke dalam kurikulum. Manakah antara berikut ialah pendekatan yang
boleh dicadangkan?
I. membina kurikulum yang baru.
II. meninggalkan aspek lama untuk memasukkan yang baru.
III. mengadaptasi sesuatu aspek ke dalam kurikulum yang ada.
IV. mencampuradukkan aspek yang baru dalam kurikulum yang lama.
A. I dan II sahaja
B. I dan III sahaja
C. III dan IV sahaja
D. II, III dan IV sahaja
5. Pelaksanaan kurikulum bersepadu mempunyai kebaikan tertentu. Apakah
kebaikan?
I. Dapat dikaitkan dengan kehidupan harian.
II. Suasana dinamik dan interaktif dapat diwujudkan.
III. Kebergantungan kepada buku teks dapat dikurangkan.
IV. Mata pelajaran yang kurang diberi penekanan dapat disepadukan.
A. I dan II sahaja
B. III dan IV sahaja
C. I, II dan III sahaja
D. I, II, III dan IV
12. KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 90
_______________________________________________________________________________
CADANGAN JAWAPAN: 1. D; 2. A; 3. C; 4. B; 5. B
RUJUKAN
http://www.moe.gov.my/bpk/
Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman (2008). Falsafah pendidikan dan kurikulum (edisi
kedua). Tanjong Malim: Quantum Books.
Armstrong, T. (2000). Multiple intelligences. Diperoleh Mei 28, 2004 daripada
http://www.thomasarmstrong.com
Bahagian Perkembangan Kurikulum (2010). KSSR: Kurikulum Standard Sekolah
Rendah. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Caine, R. & Caine, G. (1991). Making connections: Teaching and human brain.
Alexandria VA: Association for Supervision and Curriculum Development.
Fogarty, R. (2002). How to integrate the curricula (2nd ed.). Illinois: Pearson Skyligt
Publication.
Ikhsan Othman., & Norila Md. Salleh. (2005). Kurikulum dan pengajaran sekolah rendah:
Aspek-aspek yang berkaitan. Tanjong Malim: Quantum Books.
Passe, J. (1999). Elementary school curriculum (2nd Edition). Boston : McGraw Hill.
Weber, E. (2005). MI strategies in the classroom and beyond using roundtable learning.
Boston: Pearson Allyn & Bacon.
Wiles, J. & Bondi, J. (1998). Curriculum development: A guide to practice (5th ed.). New
Jersey: Merrill.
Wyse, D. (2002). Becoming a primary school teacher. New York: Routledge.