Kajian kajian lepas berkaitan pendidikan awal kanak-kanak di peringkat tadika...
pintar cerdas
1. http://cikguani.blogspot.com/2009/03/penilaian-di-prasekolah.html 14 Julai 2013
Penilaian di Prasekolah
1.0 Pengenalan
Pendidikan prasekolah adalah peringkat terpenting bagi membentuk emosi, fizikal, sosial,
dan perkembangan pemikiran kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 4 hingga 6 tahun
sebagai persediaan untuk melangkah ke sekolah rendah.. Semasa belajar di prasekolah kanak-
kanak memperoleh asas komunikasi, kemahiran sosial, dan kemahiran lain yang positif dari
aspek fizikal, kognitif, emosi, rohani dan nilai estetika. Oleh itu, penilaian adalah salah satu aspek
yang harus diberi penekanan oleh guru prasekolah bagi menentukan pencapaian dan
perkembangan seseorang kanak-kanak sepanjang mereka mengikuti pembelajaran di
prasekolah.
Kementerian Pelajaran Malaysia (2003) menyatakan penilaian adalah sebahagian
daripada proses pengajaran dan pembelajaran dan dijalankan secara berterusan. Ianya adalah
proses pengumpulan maklumat tentang perkembangan dan kemajuan kanak-kanak dengan
menggunakan pelbagai kaedah. Penilaian ini bertujuan untuk mengenal pasti pelbagai
kecerdasan dan potensi untuk diberi pengukuhan dan dipertingkatkan. Penilaian yang dijalankan
hendaklah direkodkan dengan tepat dan jelas seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan
(1996) dan disebutkan lagi dalam Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Prasekolah) 1997,
yang ditulis dalam perenggan:
“5. (1) Tiap-tiap tadika hendaklah membuat penilaian berterusan tentang perkembangan
murid-muridnya dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor”.
Penilaian di peringkat prasekolah dijalankan secara tidak formal dan berterusan. Guru prasekolah
hendaklah menilai kanak-kanak dari semasa ke semasa. Setiap pengajaran yang disampaikan
oleh guru hendaklah dinilai. Tujuannya supaya guru dapat mengumpul maklumat sepanjang
proses pengajaran dan pembelajaran serta mengetahui kemajuan kanak-kanak dalam berbagai
aktiviti dan perkembangan sikap mereka. Selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan, perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu, dan seimbang perlu
diberi pertimbangan yang sewajarnya di dalam program prasekolah kerana pengalaman
pembelajaran di prasekolah bakal mencorakkan perkembangan kanak-kanak seterusnya.
Penilaian dalam Mengenal Pasti Kemajuan Kanak-kanak
2.1 Konsep Penilaian
Guru memainkan peranan penting dalam mengesan kebolehan, kemajuan dan
pencapaian murid. Guru juga menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang
dan membina instrumen penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat
tindakan susulan.
Penilaian ialah proses mengumpul maklumat dan mengesan kemajuan kanak-kanak
dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan penguasaan kanak-kanak terhadap sesuatu proses
pembelajaran bagi membantu perkembangan yang seterusnya. Proses ini dijalankan secara
berterusan dan bersesuaian dengan objektif pembelajaran dan tahap perkembangan individu
setiap kanak-kanak semasa kanak-kanak mengalami proses pembelajaran.
Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat
tentang sesuatu perkara. Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang
sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu
objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai.
Arthur et.al. (1996) berpendapat penilaian ialah proses mengumpul bukti dan membuat
pertimbangan tentang keperluan, kekuatan, kebolehan dan pencapaian. Ia juga membawa
maksud proses mengumpul data dan membuat pertimbangan tentang keberkesanan program
pengajaran, polisi dan prosedur.
2. Matlamat Penilaian
Penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya dengan
Penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya dengan
pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Matlamat utama penilaian ialah untuk memperbaiki
pengajaran dan pembelajaran. Menurut Putri Zabariah dan Rohani (2007) penilaian dijalankan
adalah supaya guru dapat:
2.2.1 Mengesan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh;
2.2.2 Melihat perubahan pada perkembangan setiap kanak-kanak;
2.2.3 Membuat perancangan dan pengubahsuaian aktiviti pengajaran untuk membantu
meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak;
2.2.4 Mempelajari keperluan setiap kanak-kanak;
2.2.5 Mengesan keberkesanan aktiviti, rutin, dan strategi yang digunakan;
2.2.6 Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran dari semasa ke
semasa.
2.2.7 Memberi laporan yang tepat kepada ibu bapa, pakar-pakar kesihatan, guru besar dan
pegawai-pegawai yang memantau;
2.2.8 Menghargai hasil kerja kanak-kanak; dan
2.2.9 Membuat tindakan susulan serta-merta
Kaedah Penilaian
Penilaian di peringkat prasekolah bercorak tidak formal dan dijalankan ke atas kanak-
kanak secara pemerhatian yang berterusan. Pemerhatian adalah satu kaedah penilaian melalui
pemerhatian yang dijalankan secara sistematik, jelas dan tepat. Penilaian dilaksanakan melalui
pemerhatian terhadap tingkah laku, perbualan atau interaksi dan hasil kerja murid. Oleh sebab
kadar penerimaan dan kefahaman sesuatu konsep bagi setiap murid adalah berbeza, maka
penilaian sangat sesuai dilakukan secara individu.
Pemerhatian
Pemerhatian ialah pengamatan kepada perlakuan kanak-kanak yang bersesuaian
dengan perkembangan mereka. Dalam konteks penilaian, pemerhatian adalah satu kaedah yang
sistematik yang dilakukan oleh guru untuk mengumpul data atau maklumat atau merekodnya
dengan tepat. Guru perlu ada kemahiran memerhati secara prihatin pada apa yang berlaku pada
setiap kanak-kanak melalui pemerhatian yang dibuat terhadap tingkah laku, perbualan dan hasil
kerja kanak-kanak.
Melalui pemerhatian terhadap tingkah laku kanak-kanak, guru boleh memerhatikan dan
menilai murid semasa aktiviti bermain pondok-pondok, menyusun blok bersama rakan-rakan,
semasa mereka bermain bersama rakan-rakan atau bersendirian, semasa aktiviti pembelajaran
seperti membuat kolaj dalam kumpulan, aktiviti mengikat tali kasut, menyelesaikan masalah
bersama rakan dan sebagainya.
Manakala pemerhatian terhadap perbualan atau interaksi yang boleh diperhatikan ialah
semasa perbualan atau interaksi antara murid dengan guru, perbualan atau interaksi antara
murid dengan murid, interaksi murid dengan bahan, main peranan, bercerita dan bersoal-jawab,
semasa aktiviti nyanyian, hafazan, bacaan dan lain-lain. Pemerhatian ke atas kanak-kanak
hendaklah dilakukan dalam semua domain iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor.
3. Selain itu, guru boleh menilai hasil kerja murid melalui rekod kerja yang dikumpulkan dan
menjadi sumber maklumat kemajuan kanak-kanak, kekuatan, kelemahan, konsep, dan
kemahiran yang mereka ketahui dan kuasai. Setiap bahan atau hasil kerja murid dikumpulkan
dalam bentuk portfolio. Beberapa bahan yang dikumpulkan dalam portfolio murid ialah hasil
lukisan, mewarna, lakaran, tulisan, buku skrap, kraf tangan, buku kecil, dan model, video kanak-
kanak, gambar yang diambil semasa kanak-kanak menjalani aktviti pengajaran dan pembelajaran
di prasekolah dan sebagainya.
Waktu Penilaian
Dalam konteks pendidikan prasekolah, setiap pengajaran yang disampaikan oleh guru
kepada kanak-kanak hendaklah dinilai. Penilaian ke atas kanak-kanak hendaklah dijalankan
sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung sama ada secara berkala masa atau
mengikut kekerapan yang perlu.
Hal ini bersesuaian dengan pendapat Putri Zabariah dan Rohani (2007) bahawa
penilaian ke atas sesuatu pengajaran dan pembelajaran mesti bermula daripada awal, semasa
dan di akhir pembelajaran. Segala maklumat yang dikumpulkan sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran memberi suatu gambaran berkenaan penguasaan kanak-kanak. Melalui
proses penilaian yang dijalankan, guru dapat mengikuti perubahan yang berlaku daripada
semasa. Justeru itu, waktu penilaian ke atas kanak-kanak adalah secara berterusan dan tiada
had masa tertentu.
Tindakan Susulan
Sebagaimana yang terkandung dalam Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan
(2003), Tindakan susulan adalah aktiviti bimbingan, pengukuhan dan pengayaan, setelah dikenal
pasti kelebihan atau kekurangan perkembangan murid. Aktiviti bimbingan dirancang bagi
membantu murid mengatasi masalah pembelajaran agar kelemahan murid tidak terhimpun.
Proses penilaian hendaklah dilaksanakan semula. Aktiviti pengukuhan merupakan pengukuhan
kepada pengetahuan dan kemahiran yang telah dikuasai. Aktiviti pengayaan hendaklah
dirancang untuk memberi peluang kepada murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar setelah
aktiviti, kemahiran, atau aspek yang sepatutnya dipelajari telah dikuasai atau disiapkan.
Semasa menjalankan tindakan susulan guru boleh menyediakan aktiviti bagi membantu
murid yang memerlukan lebih perhatian atau pun aktiviti yang lebih mencabar. Kepekaan guru
dalam penilaian berterusan ini dapat meningkatkan pencapaian setiap murid ke tahap yang
optimum. Antara kebaikan menjalankan tindakan susulan di prasekolah ialah:
1. Kelebihan murid dalam pencapaian boleh diperkukuh dan dipertingkatkan melalui aktiviti
yang mencabar. Kekurangan tahap pencapaian murid boleh dibantu melalui bimbingan
yang sewajarnya.
2. Perkembangan dan kemajuan murid dapat dipantau dengan seadilnya secara individu,
kumpulan, dan kelas melalui proses pembelajaran.
3. Murid yang telah menguasai tahap pencapaian yang sepatutnya perlu disokong dan
diberi dan diberi lebih banyak aktiviti pengukuhan bagi meningkatkan pencapaian.
4. Murid yang belum menguasai tahap pencapaian yang sepatutnya perlu diberi aktiviti
bimbingan dan sokongan yang bersesuaian dengan aras penguasaan murid tersebut.
5. Guru juga perlu memaklumkan kepada ibu bapa tahap penguasaan anak mereka untuk
memperoleh sokongan tambahan di rumah.
Main dan Kanak-kanak
Bermain ialah apa-apa kegiatan yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada
kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil kegiatan itu. Bermain bukan satu kegiatan yang
dipaksa tetapi ia merupakan fitrah semula jadi kanak-kanak dalam proses mereka berkembang.
Bagi kanak-kanak, bermain merupakan aktiviti di dalam kehidupan seharian mereka. Melalui
aktiviti bermain kanak-kanak belajar berkenaan diri dan alam persekitarannya.
4. Dalam konteks pendidikan prasekolah, bermain ialah satu proses pembelajaran yang
terancang dan berstruktur dalam memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang
informal, menyeronokkan, bebas dan selamat. Melalui bermain, kanak-kanak berinteraksi dengan
bahan, orang lain atau secara bersendirian. Kanak-kanak merasa terhibur apabila mereka
bermain. Bermain adalah satu bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk
melahirkan perasaan dan punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan.
Banyak tokoh ahli Psikologi kanak-kanak yang menekankan kepentingan bermain
kepada kanak-kanak termasuklah Montessori yang menganggap permainan adalah pekerjaan
kanak-kanak. Beliau berpendapat bahawa semua kanak-kanak suka belajar melalui bermain.
Friedrich Wilhelm Froebel (1782–1852) yang digelar „father of kindegarten‟ telah
meneroka dan membina satu sistem pendidikan awal kanak-kanak yang berasaskan kepada
konsep belajar melalui bermain. Beliau percaya bermain adalah asas untuk kanak-kanak
mempelajari sesuatu. Froebel juga yakin permainan yang sesuai dapat membantu kanak-kanak
berfikir mengenai dan mampu memberi keseronokan, kebebasan, kepuasan, kerehatan dalaman
dan luaran serta kedamaian di dalam dunia kanak-kanak. Beliau percaya bahawa kanak-kanak
belajar dari persekitarannya dan pembentukan peribadi di pengaruhi oleh cara kanak-kanak
bermain. Alat-alat permainan yang digunakan oleh kanak-kanak perlu dipilih dengan teliti bagi
tujuan untuk menyokong perkembangan kanak-kanak.
Herbert Spencer (1973) dalam teori Surplus energy menyatakan main adalah penting
bagi kanak-kanak untuk membuang lebih tenaga mereka. Semua manusia telah dibekalkan
dengan tenaga dan sekiranya tenaga ini tidak digunakan ia harus dibuang dan cara yang
menyeronokkan ialah melalui main.
Mengikut Vygotsky (1967) Main membantu perkembangan bahasa dan pemikiran.
Struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat, ia juga membantu dalam
pembentukan ini. Main juga memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan
dalam menghadapi dunia sebenar. Dalam cara ini kanak-kanak dapat mengawal situasi dan
menyesuaikannya dalam dunia sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperoleh proses
pemikiran yang tinggi melalui bermain.
Sigmun Freud (1968) memandang main sebagai suatu cara untuk mengurangkan emosi
kebimbangan, dan mengawal emosi dengan melepaskan tindakan haram dalam dunia khayalan.
Maka, main memainkan peranan yang penting dalam perkembangan emosi dan sosial kanak-
kanak. Begitu juga dengan Jean Piaget (1962) yang berpendapat bahawa tujuan main ialah
menggerakkan perkembangan kognitif kanak-kanak, di samping memperkukuhkan pembelajaran
yang baru dijalankan dalam suasana yang tenang.
Terdapat pelbagai jenis main yang boleh dijadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
di prasekolah. Antaranya ialah Main Sosial (Social Play), Main Kognitif (Cognitive Play), dan Main
Sosiodrama (Socio-dramatic Play). Guru haruslah peka dan memahami pelbagai nilai main yang
boleh menyumbang ke arah perkembangan kanak-kanak di prasekolah secara menyeluruh dan
seimbang dari aspek kognitif, fizikal, sosial, bahasa, kreativiti dan emosi. Guru-guru prasekolah
pada masa kini sedar nilai sesebuah permainan sebagai satu cara pembelajaran yang mampu
merangsang minda dan mempunyai kepentingan tersendiri dalam perkembangan kanak-kanak
prasekolah.
Penilaian Semasa Kanak-kanak Bermain
Dari sudut psikologi terdapat 12 aspek perkembangan yang dapat dikenal pasti semasa
memerhati kanak-kanak yang sedang bermain. Walau bagaimanapun hanya lima aspek
perkembangan yang akan dibincangkan iaitu:
5. 4.1 Aspek Perkembangan Kognitif
Banyak kajian telah menunjukkan perhubungan yang positif antara main dan
pembelajaran kanak-kanak. Mengikut Piaget (1983, keupayaan adaptasi psikologikal adalah
amat penting dalam memastikan perkembangan struktur kognitif atau mental kanak-kanak.
Piaget memandang main sebagai aktiviti pengukuhan untuk tingkah laku yang baru dipelajari.
Walaupun main bukan kesamaan dengan pembelajaran, apa yang pasti, main mempermudahkan
cara pembelajaran. Ini adalah kerana bermain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk
memperoleh pengalaman baru agar dapat diadaptasikan dalam struktur kognitif mereka.
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk membantu merangsang perkembangan
kognitif kanak-kanak. Guru boleh menggalakkan kanak-kanak berfikir dengan cara mengadakan
permainan yang boleh mencabar pemikiran kanak-kanak seperti bersoal-jawab apa yang mereka
akan rasa sekiranya mereka menjadi sebuah buku, menjadi sebuah basikal, dan sebagainya.
Permainan seperti ini mendorong kanak-kanak berfikir secara spontan dan secara langsung akan
membantu perkembangan kognitif mereka.
Aktiviti lain yang guru boleh jalankan ialah aktiviti permainan air. Permainan air boleh
dijalankan di dalam atau di luar kelas. Tempat air boleh berbentuk tetap atau sementara. Guru
perlu mengambil kira beberapa aspek semasa kanak-kanak menjalani aktiviti main air. Antaranya
ialah penyediaan bahan, penyediaan tempat atau ruang, pakaian yang sesuai, mestilah
berdekatan dengan sumber air, dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu.
Berbagai perkara dalam aspek kognitif dapat dikembangkan melalui permainan air
seperti kemahiran menyiasat, menjalankan eksperimen, membuat anggaran, dan membuat
perbandingan. Selain itu, kanak-kanak juga dapat menambah pengetahuan tentang konsep isi
padu, kapasiti, saiz, bentuk, konsep penyerapan, timbul tenggelam, serta penyejukan dan
pemanasan. Melalui Permainan air kanak-kanak boleh meneroka persekitaran, mempelajari
perkara baru dan juga belajar dalam menyelesaikan masalah. Aktiviti-aktiviti yang boleh
dijalankan semasa main air yang boleh menggalakkan perkembangan kognitif ialah:
4.1.1 Memerhati dan meneroka ciri-ciri air seperti menuang air ke dalam beberapa bekas
berbeza saiz dan bentuk melalui cara seperti membuat teh tarik.
4.1.2 Membanding dan membezakan serta membuat anggaran isi padu air.
4.1.3 Menjalankan eksperimen seperti menyediakan larutan air daripada bahan-bahan berbeza
seperti garam, pasir, gula, batu, dan sebagainya.
4.1.4 Melakukan penyelenggaraan pada akuarium yang mengandungi hidupan air.
4.1.5 Bermain dengan kenderaan air atau objek untuk mengetahui konsep tenggelam dan timbul.
Aktiviti bermain dengan bongkah juga boleh mengembangkan kognitif kanak-kanak.
Contohnya bagi meningkatkan kefahaman kanak-kanak mengenai bentuk, saiz dan ciri-ciri,
kanak-kanak boleh menjalani aktiviti dengan cara bermain seperti mengumpulkan bongkah
mengikut ciri-ciri yang ditetapkan iaitu mengumpulkan semua bongkah berwarna merah,
mengumpulkan semua bongkah berbentuk bulat, segi tiga, segi empat dan sebagainya. Menurut
Piaget ( 1962 ), main dengan binaan mengajar pelbagai konsep kuantitatif dan ruang.
Selain itu, melalui aktiviti bermain dengan bongkah juga kanak-kanak dapat meneroka
kemahiran awal sains yang merupakan salah satu cabang perkembangan kognitif. Contohnya,
bagi kemahiran membezakan warna dan bentuk, guru akan menggunakan bongkah pelbagai
warna dan bentuk. Kanak-kanak menyusun dan mengumpul bongkah mengikut warna serta
menamakan warna itu. Kanak-kanak memberikan bongkah yang sama warna seperti yang
dikehendaki guru. Permainan diulang dengan kanak-kanak membezakan bentuk pula.
6. 4.2 Aspek Perkembangan Bahasa
Melalui bermain juga dapat membantu perkembangan bahasa kanak-kanak. Permainan
yang melibatkan bahasa dapat merangsang minda kanak-kanak menguasai dan membantu
mereka menambah perbendaharaan kata. Mereka juga menyedari setiap objek di persekitaran
mereka mempunyai nama dan peranan yang tersendiri. Guru boleh menjalankan aktiviti bagi
memberi peluang kepada kanak-kanak meluaskan perkembangan bahasa melalui aktiviti
bermain bongkah, bermain pondok-pondok, main pasir dan main peranan.
Melalui aktiviti bermain bongkah, kanak-kanak bermain dengan bongkah yang pelbagai warna,
saiz, dan bentuk. Mereka membuat binaan seperti rumah, jambatan, jalan raya, bangunan,
kenderaan dan sebagainya. Semasa aktiviti ini berjalan guru menggalakkan kanak-kanak
melahirkan perasaan seperti bercerita, berimaginasi, dan menyanyi ketika bermain dengan
bongkah. Oleh itu, secara tidak langsung, perbendaharaan kata kanak-kanak akan bertambah.
Melalui permainan ini juga kanak-kanak akan berbincang sesama sendiri mengenai bahan
binaan mereka. Guru juga hendaklah memberi perangsang dengan mengemukakan beberapa
soalan yang boleh menggalakkan kanak-kanak berbual dan bercerita mengenai aktiviti yang
mereka lakukan.
Aktiviti main pondok-pondok juga boleh menggalakkan perkembangan bahasa di kalangan
kanak-kanak. Sewaktu bermain pondok-pondok, kanak-kanak meniru perwatakan ahli keluarga
seperti bapa, ibu, kakak, abang, dan adik. Mereka juga akan meniru perwatakan orang-orang di
sekeliling mereka seperti doktor, anggota polis, guru, peniaga dan sebagainya. Sewaktu bermain
kanak-kanak akan berbual sesama mereka berdasarkan watak yang telah dipilih. Aktiviti yang
baik ini perlu dipupuk tetapi perlu ada kawalan dan batasan daripada guru. Melalui aktiviti ini
aspek perkembangan bahasa kanak-kanak dapat dipertingkatkan.
Selain aktiviti main bongkah dan main pondok-pondok, aktiviti main sambil menyanyi juga adalah
satu cara bagaimana kanak-kanak memperkembangkan penguasaan bahasa mereka. Dengan
nyanyian juga dapat memperkenalkan pelbagai konsep dan bahasa dapat ditingkatkan kerana ia
mudah diingati dan difahami oleh kanak-kanak. Peningkatan perkembangan bahasa dapat
berkembang melalui sebutan semasa menyanyi.
Contoh aktiviti yang boleh dijalankan ialah menyanyi lagu Row Row Your Boat atau
dalam bahasa Melayu ialah Dayung Dayung Sampan sambil membuat aksi mendayung sampan
secara berpasangan. Kanak-kanak memegang tangan pasangannya dan kaki bertemu kaki
pasangannya. Kemudian, tangan dan kaki bergerak secara berselang-seli seperti mendayung
sampan sambil menyanyi lagu tersebut dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan
iringan muzik. Sepanjang aktiviti tersebut kanak-kanak kelihatan sangat gembira. Aktiviti tersebut
diulang beberapa kali sehingga kanak-kanak dapat menyebut lirik lagu itu. Melalui aktiviti ini
kanak-kanak dapat mempelajari perkataan-perkataan baru dan secara langsung kosa kata
kanak-kanak akan semakin bertambah.
Kanak-kanak belajar bahasa melalui pelbagai cara. Antaranya dengan meniru bunyi yang
pernah didengarinya. Mereka belajar dengan meniru orang dewasa dan rakannya bercakap dan
meluahkannya dengan cara tertentu. Contohnya, permainan lagu berantai membolehkan kanak-
kanak menghafal, menghasilkan , mempelbagaikan dan memanipulasikan perkataan dalam
pelbagai situasi. Mereka membina perkataan yang lucu, mudah, dan mereka cerita khayalan
daripada pengalaman mereka sendiri. Dengan cara ini, kanak-kanak guru dapat meningkatkan
perkembangan bahasa kanak-kanak. Contoh permainan lagu berantai ialah seperti:
Malam yang sepi pi… pi Pak Mat jual topi pi…pi
Topinya koyak yak…yak Pak Mat jual tempoyak yak…yak
Tempoyaknya basi si…si Pak Mat jual nasi si… si
7. 4.3 Aspek Perkembangan Sosial
Perkembangan sosial amat penting dalam kehidupan manusia dan dipelajari sejak kecil.
Kemahiran asas sosial yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak ialah kemahiran menarik perhatian
orang lain, berkongsi dan memberi, meminta dan bertanya, memberi idea dan memuji atau
memberi penghargaan. Ini termasuklah cara kanak-kanak berinteraksi dengan kanak-kanak lain
dan orang dewasa dalam kehidupan mereka. Kemahiran sosial termasuklah berkongsi,
bekerjasama dan mematuhi peraturan.
Menurut Philip (1991) kemahiran sosial membawa maksud tingkah laku-tingkah laku
yang prihatin untuk melakukan perhubungan interpersonal yang efektif. Sebaliknya Thacker
(1996) pula mendefinisikan kemahiran sosial sebagai keupayaan untuk berkomunikasi secara
efektif dengan individu lain dalam situasi sosial atau kerja.
Pelbagai aktiviti bermain boleh dilakukan di prasekolah dalam membantu perkembangan
sosial kanak-kanak. Antaranya aktiviti bermain pasir. Permainan pasir boleh dijalankan di dalam
dan di luar kelas. Ruang pasir haruslah berkeadaan teduh dan selesa untuk kanak-kanak
bermain. Guru harus menyediakan pelbagai peralatan untuk memberi peluang kepada murid
membuat penerokaan dan penemuan baru serta bersosialisasi dengan rakan-rakan. Semasa
bermain pasir kanak-kanak akan berkongsi dan bergilir-gilir menggunakan peralatan bersama
rakan-rakan, hormat-menghormati, menghargai sumber dan idea orang lain, dan bekerjasama
sesama rakan.
Selain itu, aktiviti bermain di taman permainan juga boleh menggalakkan kanak-kanak
meningkatkan aspek perkembangan sosial di kalangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana,
semasa aktiviti bermain di taman permainan kanak-kanak perlu bergaul dengan semua rakan
sebaya. Di samping itu, mereka dilatih bersifat sabar dan mematuhi peraturan kerana perlu
bergilir-gilir semasa bermain dengan alatan permainan yang terhad. Secara tidak langsung
kanak-kanak ini belajar untuk menghormati perasaan dan hak orang lain.
Begitu juga aktiviti bermain pondok-pondok, bermain doh ataupun semasa bermain
permainan dalaman seperti congkak, dam ular, ketingting dan sebagainya. Semasa bermain
bersama rakan-rakan, kanak-kanak sebenarnya sedang belajar cara-cara berinteraksi dan
bersosial bersama orang lain di luar daripada lingkungan ahli keluarga. Memberi pendedahan
sosial yang awal kepada kanak-kanak memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan
persekitaran di samping dapat menanam sifat berani dan berani ke hadapan.
Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti main ini menggalakkan kanak-kanak
bergaul dengan rakan dan secara langsung membantu perkembangan sosial mereka. Semasa
bermain dengan kanak-kanak lain, kanak-kanak akan cuba belajar dan mengekalkan hubungan
yang sedia terjalin. Ini adalah kerana penyesuaian semasa bergaul adalah asas kepada proses
sosialisasi kanak-kanak.
4.4 Aspek Perkembangan Emosi
Terdapat pelbagai cara untuk memupuk perkembangan emosi kanak-kanak di peringkat
prasekolah. Contohnya, aktiviti bermain yang dijalankan semasa berada di sekolah. Kepentingan
emosi dalam kehidupan telah mula diakui oleh ahli-ahli falsafah sejak zaman Greek lagi. Tidak
hairanlah jika Plato, Aristotle, Spinoza, Descartes, Hobbes, dan Hume telah mengemukakan
teori-teori berkaitan emosi yang menjadi asas kepada penyelidikan tentang emosi dan kaitannya
dengan kehidupan manusia.
Emosi bermaksud jiwa yang kuat. Manusia adalah makhluk yang mempunyai perasaan
yang tinggi dan paling halus. Emosi juga boleh dimanifestasikan melalui bahasa badan ataupun
gerak geri seseorang. Bahasa badan ialah pergerakan badan seperti postur dan ekspresi wajah.
Mengikut Daniel Goleman ( 1997 ), emosi merujuk kepada sesuatu perasaan dan pemikiran
tersendiri di bawak keadaan psikologikal dan biological, serta ada kecenderungan yang berbeza-
beza untuk bertindak. Ini bermakna emosi biasanya digambarkan dengan bahasa badan fizikal ,
iaitu bahasa bukan lisan.
8. Menurut Plato, terdapat tiga komponen asas dalam minda manusia iaitu daya taakulan,
kehendak (desire), dan komponen emotif. Antara komponen emotif yang dimaksudkan ialah
kegembiraan, kesedihan, ketakutan, dan kemarahan. Bagi Aristotle juga, emosi mempunyai
peranan yang sangat besar dalam mempengaruhi kehidupan manusia secara keseluruhannya.
Perkembangan emosi bagi seseorang kanak-kanak adalah sangat penting. Sekiranya
seseorang kanak-kanak gagal berkembang secara positif, mereka mungkin tidak akan berjaya
menghadapi tekanan-tekanan yang bakal dihadapi dalam hidup. Oleh sebab itulah di peringkat
prasekolah pemupukan emosi positif amat dititik beratkan terutamanya dalam aktiviti bermain. Ini
adalah kerana bermain dapat membantu memberikan kepuasan dan ketenangan emosi kepada
kanak-kanak terutamanya apabila mereka diberikan kebebasan berkreatif dan berimaginasi
tanpa gangguan.
Antara aktiviti yang boleh dijalankan untuk guru menilai dan menggalakkan perkembangan emosi
kanak-kanak ialah melalui aktiviti Komponen Kreativiti dan Estetika. Ini kerana aktiviti ini memberi
peluang untuk kanak-kakak menyampaikan perasaan, karya, meluahkan emosi, dan kebolehan
mereka dalam pelbagai cara. Contohnya aktiviti seni visual dengan menggunakan warna air.
Kebanyakan kanak-kanak suka bermain dengan warna air kerana pada mereka aktiviti ini
mencabar kebolehan mereka. Aktiviti percikan dan tiupan warna air di atas kertas lukisan.
Semasa aktiviti ini dijalankan, kelihatan kanak-kanak seronok dan emosi kegembiraan terpancar
di wajah mereka. Banyak lagi aktiviti seni visual yang boleh dijalankan di prasekolah dalam
membentuk perkembangan emosi kanak-kanak.
Selain itu, perkembangan sosioemosi juga boleh dipupuk semasa guru mengajar aktiviti
nyanyian, serta muzik dan gerakan. Hal ini demikian kerana muzik digemari secara semula jadi
oleh kanak-kanak. Kanak-kanak dapat meluahkan perasaan gembira atau seronok melalui aktiviti
muzik. Aktiviti muzik dapat membantu menggalakkan perkembangan emosi kanak-kanak.
Antaranya semasa penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti nyanyian berkumpulan, kanak-kanak
akan menyanyi dan menari bersama rakan-rakan yang lain. Dengan cara ini, mereka dapat
meluahkan perasaan gembira yang ditunjukkan melalui ekspresi muka semasa aktiviti nyanyian
ini dijalankan. Oleh itu, guru dapat menilai sejauh mana meningkatnya perkembangan emosi
seseorang kanak-kanak.
4.5 Aspek Perkembangan Fizikal
Permainan biasanya melibatkan aktiviti fizikal yang berhubung rapat dengan
perkembangan kanak-kanak dari aspek motor kasar dan motor halus serta kesedaran tentang
badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-
bahagian anggota badan mereka untuk bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak meningkatkan
kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari.
Dalam masyarakat di mana kanak-kanak menghadapi tekanan, keyakinan dan sikap bersaing
untuk berjaya dalam segala bidang amat diperlukan.
Perkembangan fizikal merupakan suatu aspek penting dalam pendidikan awal kanak-
kanak. Komponen Perkembangan fizikal memberi fokus kepada empat aspek penting iaitu
perkembangan psikomotor halus, perkembangan psikomotor kasar, kesihatan dan keselamatan.
Aspek perkembangan fizikal kanak-kanak dapat dikembangkan melalui empat aspek yang telah
dinyatakan. Antara strategi pengajaran dan pembelajaran yang boleh dijalankan untuk memupuk
perkembangan fizikal kanak-kanak ialah:
4.5.1 Aspek Perkembangan Psikomotor Kasar
Kanak-kanak harus diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti pergerakan yang aktif,
pantas, dan mencabar. Dengan bermain terutamanya dalam permainan aktif, kanak-kanak
belajar mengawal pergerakan dan mengimbangi tubuh mereka serta melicinkan perjalanan
sistem dalam tubuh seperti sistem pernafasan dan sistem saraf.
Aktiviti pergerakan akan membantu pertumbuhan tubuh badan menjadi sihat. Selain itu,
kanak-kanak dapat menguasai kemahiran fizikal serta dapat meningkatkan lagi keupayaan
pergerakannya melalui pengalaman yang diperolehi melalui permainan, pergerakan kreatif dan
gimnastik.
9. Misalnya, aktiviti bermain di padang permainan, aktiviti seperti memanjat dan menuruni
gelongsor, bergayut pada „ monkey bar ‟, bermain buaian dan sebagainya dapat membantu
perkembangan fizikal kanak-kanak.
4.5.2 Aspek Perkembangan Motor Halus
Kemahiran motor halus ialah kemahiran yang melibatkan kemahiran menggunakan otot
kecil seperti pergerakan jari serta koordinasi jari dan mata. Penguasaan psikomotor halus yang
baik amat penting dalam membantu pergerakan asas dan kemahiran menulis kepada kanak-
kanak. Antara aktiviti dalam bentuk permainan yang boleh dijalankan bagi membantu
perkembangan fizikal dalam aspek ini ialah seperti merantai manik, menjahit kad berlubang,
menconteng kertas, melipat, mengoyak dan merenyuk kertas, menguli doh dan lain-lain lagi.
Salah satu aktiviti yang menyeronokkan kanak-kanak dalam membantu aspek
perkembangan fizikal ialah bermain dengan doh. Sebelum kanak-kanak bermain dengan doh,
guru hendaklah membimbing kanak-kanak membuat doh sendiri. Menyediakan doh sendiri
memberi peluang kepada kanak-kanak merasa sendiri struktur doh dan memilih sendiri warna
yang mereka suka. Biarkan kanak-kanak menggaul dan menguli doh dengan tangan. Dengan
cara ini, ia melatih pergerakan motor halus kanak-kanak. Proses mengadun, menggaul, meramas
adalah baik untuk jari-jemari kanak-kanak dan ia juga adalah latihan awal bagi persediaan untuk
menulis.
4.0 Merekodkan Pemerhatian
Setiap pemerhatian yang dilakukan merupakan maklumat penting yang perlu direkodkan
secara sistematik, tepat, lengkap dan jelas. Merekod pemerhatian ialah aktiviti mencatat
maklumat secara sistematik daripada apa yang diperhatikan berkaitan dengan perkembangan,
kebolehan, kemajuan, pengetahuan, dan pencapaian murid yang ingin dinilai. Pemerhatian guru
memainkan peranan penting untuk menilai kanak-kanak prasekolah. Guru hendaklah sentiasa
memerhatikan sesuatu perubahan tabiat atau perlakuan kanak-kanak. Maklumat ini hendaklah
direkodkan secepat mungkin. Maklumat tersebut dapat membantu guru menyediakan laporan
kemajuan kanak-kanak pada bila-bila masa diperlukan.Pemerhatian boleh direkodkan dengan
menggunakan rekod senarai semak, rekod anekdot, dan rekod berterusan.
5.1 Rekod Senarai Semak
Senarai semak ialah senarai item yang disediakan untuk mengenal pasti perkembangan
dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kebolehan. Senarai item yang disediakan adalah
untuk menentukan sama ada tingkah laku yang berlaku, tingkah laku dapat diperhatikan, dan
kekerapan tingkah laku itu berlaku dengan menandakan ( Ö ) atau cara lain mengikut arahan
dalam senarai semak. Senarai item yang disediakan hendaklah mengambil kira domain kognitif,
afektif dan psikomotor. Senarai semak ini juga dapat menyatakan sama ada murid itu boleh atau
tidak boleh, mencapai atau tidak mencapai hasil pembelajaran yang diingini.
5.2 Rekod Anekdot
Rekod anekdot adalah satu catatan yang ringkas, tepat dan padat mengenai sesuatu
peristiwa atau tingkah laku murid yang dianggap penting, unik dan signifikan untuk direkodkan.
Maklumat yang perlu ada dalam rekod anekdot ialah nama kanak-kanak, tarikh, masa, tempat,
peristiwa yang berlaku, ulasan guru dan cadangan atau tindakan guru. Catatan ringkas ini akan
membantu guru memahami kanak-kanak berkenaan. Rekod anekdot hendaklah ditulis secara
objektif untuk menerangkan apa yang berlaku, bila dan di mana berlaku.
5.2.1 Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan untuk menulis rekod anekdot ialah:
- Membuat pemerhatian terhadap peristiwa yang berlaku.
- Mengenal pasti peristiwa itu penting dan signifikan kepada aspek
perkembangan kanak-kanak, merangkumi kelebihan dan kekurangan.
10. - Menulis maklumat selepas peristiwa berlaku
- Menulis apa yang dilihat secara objektif
- Maklumat yang biasanya direkodkan adalah berpandukan peristiwa
menggambarkan tentang perkembangan bahasa dan literasi, pola
interaksi sosial dan kemahiran menyelesaikan masalah.
5.2.2 Panduan Merekod:
- Membuat catatan dalam buku nota bagi memastikan peristiwa yang
direkodkan tidak tercicir.
- Merekod hasil pemerhatian sebaik sahaja selesai pemerhatian dibuat.
- Mencatat tingkah laku dan apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak.
- Masukkan respons orang lain sekiranya ada kaitan dengan tingkah laku
Kanak-kanak yang diperhatikan.
- Pastikan peristiwa dicatat mengikut urutan
- Maklumat yang direkodkan hendaklah berpandukan peristiwa yang
menggambarkan perkembangan kanak-kanak.
5.3 Rekod Berterusan
Rekod Berterusan merupakan catatan dalam bentuk cerita (narative) yang dibuat ke atas
individu atau kumpulan murid semasa berlakunya sesuatu peristiwa. Setiap perlakuan dan apa
yang dikatakan oleh murid akan dicatat sepanjang tempoh pemerhatian. Pemerhatian yang
terperinci ini biasanya dijalankan dalam tempoh 3 hingga 8 minit.
5.3.1 Prosedur pemerhatian:
Fokus kepada kanak-kanak yang ingin diperhatikan.
Pastikan item yang akan difokuskan semasa pemerhatian.
Rekodkan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak secara terperinci.
Rekod hendaklah tepat dan padat.
Catatkan dengan jelas setiap perlakuan mengikut urutan.
Panduan menulis:
Merekodkan perkara-perkara yang sebenarnya berlaku.
Gunakan bahasa yang boleh difahami.
Gunakan singkatan semasa mencatat.
11. Tulis secara terperinci tentang tingkah laku yang ingin diperhatikan.
Tulis secara objektif, tidak terlalu deskriptif atau “ Judgemental”.
Pastikan buku nota atau kertas catatan diletak di tempat yang strategik atau sulit.
Dua Cara Merekod Tingkah Laku Kanak-kanak
Saya akan menghuraikan tentang dua cara merekodkan tingkah laku kanak-kanak
daripada aspek Perkembangan Sosial iaitu Rekod Anekdot dan Rekod Berterusan.
6.1 Rekod Anekdot
Nama : Muhammad Munir Bin Mohtar
Umur : 6 Tahun
Kelas : Pra Bestari
Tarikh : 22 Februari 2009
Masa : 8.35 Pagi
Tempat : Taman Permainan Prasekolah
Nama Guru : Puan Zailani Binti Zakaria
Peristiwa yang diperhatikan:
Semasa aktiviti bermain di taman permainan prasekolah. Kelihatan Munir, Hazeem, Faris, dan
Iskandar beratur untuk memanjat tangga gelungsur. Tiba-tiba, Haikal berlari menuju ke arah
kumpulan kanak-kanak yang sedang beratur tadi lalu menolak Faris hingga terjatuh. Faris
kelihatan memarahi Haikal kerana berebut hendak memanjat gelungsur dahulu. Tambahan pula,
tangannya sakit.
Munir dengan segera membangunkan Faris. Dia berkata kepada Haikal bahawa tidak baik
berbuat demikian. Katanya, cikgu sudah beritahu kalau bermain mesti ikut giliran. Haikal
kelihatan mengangguk-angguk seolah-olah mengiakan kata-kata Munir. Munir menyuruh Haikal
bersalam dan meminta maaf pada Faris. Haikal dan Faris pun bersalam.
Ulasan Guru:
Munir memiliki sifat empati pada rakan. Selain itu, dia juga mempunyai sifat interpersonal yang
positif serta sudah memahami bahawa dia perlu mengikut peraturan-peraturan tertentu semasa
bermain di taman permainan.
Cadangan:
Guru harus menonjolkan sifat terpuji yang dimiliki Munir dengan menceritakan semula peristiwa
yang berlaku di hadapan rakan-rakan yang lain agar menjadi teladan kepada orang lain.
12. Rekod Berterusan
Nama : Nur Arifah Aqilah Binti Sulaiman
Umur : 6 Tahun
Tarikh : 18 Mac 2009
Masa : 9.15 – 9.20 pagi
Tempat : Pusat Main Pasir
Nama Guru : Puan Zailani Binti Zakaria
Aqilah bermain bersama sekumpulan 5
orang di pusat main pasir. Mereka
bermain dengan beberapa peralatan main
pasir seperti pengorek, pencedok, cawan,
baldi, dan sebagainya.
Semasa aktiviti baru bermula,
kedengaran Aqilah memberi cadangan
kepada kanak-kanak yang lain.
Aqilah : Mari kita buat rumah dengan
pasir. Lepas
buat rumah, kita buatlah bukit dan sungai
di
belakang rumah, buat pagar di sekeliling
rumah. Nanti tentu rumah kita cantik.
Kanak-kanak yang lain bersetuju.
Aqilah membahagikan peralatan
permainan pasir kepada kawan-
kawannya. Jadi setiap seorang
mempunyai alat mainan tersebut.
Aqilah: Ambil seorang satu benda-
benda ni. Jom
kita buat rumah kita cantik-cantik.
Nanti
kita kongsi-kongsi guna alat-alat ni.
Akhirnya rumah pasir pun siap dibina
tanpa sebarang konflik hasil daripada
peranan yang dimainkan Aqilah.
Mempunyai sifat kepimpinan
Menunjukkan sifat toleransi dan
pandai membahagikan peralatan
sama rata.
Aqilah memahami erti persahabatan dan
bekerjasama sesama rakan-rakan.