Pemantapan Hubungan Etnik Berteraskan Prinsip Islam Hadhari
1. Pemantapan hubungan etnik berteraskan prinsip Islam
Hadhari
By Editor • June 13, 2008
Oleh EDITOR HADHARI
KEPELBAGAIAN kelompok etnik di negara ini diterima oleh semua dan ia merupakan
sumber kekuatan. Dari segi sejarah, kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai
bangsa dan kaum di negara kita bermula dengan apa yang dinamakan sebagai
kontrak sosial antara etnik terbesar di negara ini. Kontrak sosial adalah satu
persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum melalui proses muafakat dan
musyawarah ke arah peralihan kuasa pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris
dan dimanifestasikan melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955.
Semangat kontrak sosial ini berasaskan semangat kerjasama dan setiakawan serta
perkongsian kuasa yang kemudiannya terjelma dalam perjuangan menuntut
kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Pemuafakatan formula
perkongsian kuasa telah dipersetujui oleh semua pihak sejak daripada dulu
lagi.Semangat dan falsafah Islam Hadhari telah terjelma ketika itu lagi dengan
adanya sikap bermuafakat, bermusyuawarah dan keadilan dalam menjalani
kehidupan secara bersama dengan aman, harmoni, saling menghormati dan
memahami antara satu sama lain walaupun berbilang agama, bangsa dan
keturunan.
2. Keimanan dan Ketakwaan
Hubungan etnik yang utuh lagi jitu akan dapat dibina sekiranya ia dijalin berteraskan
ajaran agama bersekali dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Islam
sebagai Ad-Din telah secara holistik mengintegrasikan hubungan kemanusiaan dan
kemasyarakatan (termasuk komuniti dan hubungan etnik) dengan hubungan
manusia-Allah, manusia-makhluk dan hubungan manusia-alam. Justeru, hubungan
kemanusiaan dan sosial sudah terkandung dalam ajaran Islam yang mementingkan
perpaduan, perdamaian, keharmonian dan keamanan tanpa mengira bangsa, ras,
kaum dan etnik. Kesejahteraan hidup hanya akan dapat direalisasikan sekiranya
manusia dan masyarakat berpandukan ajaran Allah s.w.t.
Integrasi iman dan takwa serta amal bukan hanya dijuruskan dalam aspek hubungan
etnik tetapi dilihat secara menyeluruh dalam komponen pembangunan insan,
komuniti dan negara yang akhirnya menganjak paradigma dalam aspek peningkatan
kualiti hidup dan taraf hidup, kehidupan bermasyarakat dan bernegara, kemajuan
dan pembangunan negara (emosi, mental, fizikal dan spiritual masyarakat).
Orang yang kuat iman dan takwanya adalah mereka yang menjalin dan memelihara
hubungan baik dan beradab sesama manusia walaupun dengan bukan Islam kerana
ia adalah ajaran Islam dan suruhan Allah serta Junjungan Besar Rasulullah
s.a.w.Islam mewajibkan penganutnya menjalin hubungan yang baik sama ada
sesama Muslim ataupun dengan bukan Muslim. Islam juga mengajarkan
penganutnya agar menghindarkan diri daripada mewujudkan permusuhuan,
perseteruan, perselisihan faham yang negatif dan fitnah.
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud: “Dan jagalah diri
kamu daripada berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja
akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kaum secara khusus, (tetapi akan
menimpa kaum secara umum).”
Dengan kekuatan imanlah, orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang lain,
bukannya dengan dasar keturunan atau pertalian darah atau kewarganegaraan
semata-mata.
Allah s.w.t telah menjelaskan dalam Surah Ali Imran ayat 102–103, bahawa takwa
adalah asas perpaduan sesama Muslim dan dalam konteks bernegara. Orang Muslim
menjadikan takwa sebagai tonggak untuk menjamin hubungan etnik yang baik
dengan kaum agama lain. Orang-orang Islam juga tidak dapat bertolak ansur untuk
menjalin hubungan dan memperkukuhkannya sesama Muslim. Ia adalah satu
kemestian dan kewajipan sepertimana dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud: “Kasih sayang Mukmin itu dengan Mukmin yang lain bagaikan struktur
binaan yang saling mengeratkan.” Dalam sebuah hadis yang lain, baginda
menjelaskan, yang bermaksud:”Orang Mukmin, dalam soal kasih sayang, cinta dan
belas ihsan sesama mereka, bagaikan badan, jika ada anggota yang sakit, maka
seluruh badan itu juga turut berasa sakit, lalu demam dan tidak dapat tidur.”
Kerajaan Adil dan Beramanah
Dasar keadilan dan amanah kerajaan juga telah lama dilaksanakan dalam konteks
3. memantap dan memperkukuhkan hubungan etnik. Kerajaan Malaysia dalam ruang
yang ada sejak daripada selepas Peristiwa 13 Mei 1969 berusaha membentuk
perpaduan dan keutuhan masyarakat berbilang kaum yang mempunyai identiti
nasional dan tidak menghalang hak-hak bukan Islam dalam menjalani semua aktiviti
kehidupan. Kepelbagaian budaya dan agama diterima sebagai satu entiti kekuatan,
bukannya melemahkan. Kerajaan juga sentiasa berwaspada dan berusaha
mengelakkan ketegangan dan pergaduhan etnik walau apapun puncanya.
Respons kerajaan kepada tuntutan etnik minoriti sentiasa adil dan saksama, maka
kerana itulah ketegangan dan perbalahan antara etnik dapat diatasi dengan bijak
dan saksama. Etnik majoriti merasa selamat dan etnik minoriti pula turut menikmati
keamanan, pembangunan dan kemajuan negara secara bersama. Ini mengurangkan
rasa tersisih dan kurang selamat di kalangan etnik minoriti. Kita percaya, tidak ada
sebuah negarapun yang mampu melahirkan rasa selamat golongan minoriti kecuali
dalam kes Malaysia.
Golongan minoriti kadangkala menikmati lebih kelebihan (walaupun kebiasaannya
sedikit berkurang) dalam sektor pekerjaan, kemajuan ekonomi dan pembangunan
fizikal kerana peluang, dasar dan ruang yang diwujudkan oleh pihak kerajaan.
Kerajaan juga telah secara perlahan-lahan menghapuskan pengkelasan dan
identifikasi kelompok etnik mengikut jenis pekerjaan ataupun aktiviti ekonomi kesan
daripada strategi penjajahan British ke atas negara kita dahulu.
Kerajaan telah mengatur pelan dan strategi perpaduan melalui beberapa dasar sedia
ada untuk membentuk masyarakat berbilang kaum yang utuh lagi padu. Dasar
Kebudayaan Kebangsaan (DKK) telah digubal sebagai garis panduan dalam
membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti nasional negara dan masyarakat
berbilang kaum yang bersatu padu. Mengakui kerumitan pelaksanaannya, kerajaan
meminta rakyat agar insaf serta faham tentang kepentingan perpaduan antara kaum
dan perlunya dihakis kebudayaan kesukuan yang menidakkan kebudayaan nasional.
Apa yang lebih penting ialah kerajaan ingin melihat masyarakat berbilang kaum
berbudaya keperibadian kebangsaan Malaysia yang lebih ekstensif menjangkau
batasan suku kaum sempit dengan Islam dijadikan sebagai komponen utama
kebudayaan nasional. Betapa pentingnya perpaduan kaum dan semangat muhibah
dipupuk di peringkat awal lagi, kerajaan telah memperkenalkan Rancangan Integrasi
Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) hasil daripada ilham YAB Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi. Polisi ”Bersih, Cekap dan Amanah” pula menampilkan
integriti tinggi yang dikehendaki kerajaan di kalangan kakitangan awam khususnya.
Rakyat Berjiwa Merdeka
Setiap kelompok etnik menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan.
Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah menghayati hakikat perjuangan
tersebut dan sama-sama memastikan kesinambungan kemerdekaan negara dikecapi
oleh generasi masa hadapan.Hubungan etnik di Malaysia tidak lagi berkisar dalam
soal-soal keagamaan (walaupun agama adalah sandaran) tetapi yang lebih penting
ialah keadilan kerajaan dalam memenuhi kehendak dan keperluan rakyat yang
berbilang agama dan kaum, program-program sosioekonomi untuk meningkatkan
status ekonomi mereka yang memerlukan, pembangunan yang lebih ditumpukan di
kawasan luar bandar dan desa, pembangunan sektor pertanian dan industri asas tani
dan seumpamanya. Kerajaan terus berusaha membentuk bangsa Malaysia menerusi
4. berbagai-bagai usaha termasuklah pengukuhan konsep perpaduan nasional agar
terhasil rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka, iaitu yang menyumbang dan berbakti
kepada negara serta menumpahkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi
kepada negara di samping bersatu padu, saling menghormati, tolong menolong dan
berkongsi masa depan.
Kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan ’Membudayakan Perpaduan,
Meraikan Kepelbagaian’ dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang kuat.
Islam mewajibkan manusia Muslim sentiasa tolong menolong atas dasar kebaikan
dan ketaqwaaan dan bukannya atas dasar perlakuan dosa, pencerobohan atau
perseteruan. Sebagai warga Malaysia yang berjiwa merdeka, Rukun Negara
merupakan teras ke arah mengwujudkan bangsa yang berwibawa dan berprinsip.
Rakyat mestilah mendukung kepercayaan kepada Tuhan dan menolak atheisme.
Oleh sebab itu, bukanlah seseorang itu dianggap sebagai warganegara Malaysia
sekiranya ia mengaku tidak beragama atau tidak mempercayai Tuhan.
Rakyat juga sama-sama tanpa mengira bangsa dan agama menumpahkan kesetiaan
kepada Raja dan negara, pemimpin dan pemerintah, menjunjung kedaulatan
undang-undang dan menghayati kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat
berbilang kaum.Ancaman penjajahan pemikiran, ekonomi, politik dan budaya serta
globalisasi negatif adalah dua musuh yang dihadapi oleh semua kelompok etnik di
Malaysia. Oleh kerana masalah yang ditimbulkan oleh kedua-duanya sama-sama
memberikan kesan buruk kepada setiap kelompok etnik, maka kelompok etnik yang
bersatupadu akan lebih kuat menghadapi musuh-musuh ini. Justeru, Islam sentiasa
menyuruh umatnya untuk berpegang teguh dengan agama Allah dan jangan
berpecah belah. Sepanjang sejarah Islam juga kita akan dapati rekod pemerintahan
Islam dan layanan yang baik untuk kelompok agama lain dan dari sudut hubungan
diplomatik dan antarabangsa. Begitu juga rekod pemerintahan negara kita.
Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Kerajaan sentiasa menganjurkan rakyatnya agar sentiasa menguasai ilmu
pengetahuan. Islam mewajibkan umatnya untuk mencari dan menuntut ilmu
pengetahuan. Dalam konteks Malaysia, jalinan hubungan etnik akan menjadi lebih
padu sekiranya masing-masing melihat signifikan hubungan etnik dalam konteks
ilmu dan realiti, bukannya emosi, perasaan, dan prasangka. Dialog tamadun atau
dialog antara agama akan berlaku dengan wujudnya interaksi individu. Nabi
Muhammad s.a.w banyak menggunakan dialog dan hikmah ketika berhujah dengan
orang Musyrikin Mekah. Orang Melayu tidak mempunyai masalah dalam interaksi
tamadun. Agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian dapat berkembang
di Kepulauan Melayu kerana pemahaman orang Islam berasaskan ilmu al-Quran
yang mementingkan toleransi dan menerima hakikat kepelbagaian agama dan
keturunan dan hidup bersama dalam kerukunan, aman dan damai kecuali pada
waktu darurat.
Orang Melayu juga menerima bahasa kelompok etnik lain walaupun bahasa
kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Pakaian kebangsaan yang berasaskan
kemelayuan diterima oleh semua kelompok etnik walaupun setiap kelompok etnik
mempunyai pakaian etnik masing-masing. Kerana Islam mengharuskan mengambil
makanan yang halallah, orang-orang Melayu boleh menerima makanan orang asing
(yang halal) seperti makanan segera Barat (asal daripada Barat), Char Koay Teaw
5. (asal daripada China) dan Tosai (asal daripada India). Semua ini diterima oleh orang
Islam berasaskan pemahaman ilmu.Tamadun India yang masyhur dengan falsafah
dan matematik, tamadun China dengan ilmu hisab, perpuluhan dan aritmatik dan
tamadun Islam yang menampilkan konsep angka dan meletakkan asas dalam
matematik moden dan bidang astronomi cerapan telah bersama-sama menjayakan
interaksi tamadun hasil daripada penguasaan ilmu pengetahuan.
Maka, kelompok etnik Cina, India dan Melayu dan lain-lain sepatutnya tidak
mempunyai masalah memperkukuh hubungan etnik di Malaysia hasil daripada
interaksi sains dan teknologi dan interaksi budaya tamadun masing-masing
terdahulu. Penguasaan ilmu pengetahuan adalah faktor pembentukan dan
kesinambungan kejayaan ketiga-tiga tamadun di atas. Ungkapan Arab, ”Tuntutlah
ilmu walau sampai ke negeri China” membuktikan dua aspek; pertama interaksi dan
dialog tamadun, kedua; transmisi ilmu dan pengejaran ilmu pengetahuan. YAB
Perdana Menteri juga telah menawarkan Malaysia sebagai `focal point` untuk
mengadakan usaha-usaha perbincangan terbuka berkaitan Islam. [Ucapan PM, Asia
Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]
Maksudnya ialah sebagai pusat dialog antara agama ataupun dialog peradaban.
Usaha yang lebih perlu dilipatgandakan oleh berbagai-bagai pihak bermula daripada
masyarakat awam, pemimpin masyarakat, pemimpin tinggi, pertubuhan bukan
kerajaan dan institusi pendidikan untuk mengadakan dialog antara Muslim dan
bukan Islam. Dialog, perbincangan dan interaksi sebenarnya menambahkan ilmu
pengetahuan dan maklumat tentang hakikat kelompok etnik dan agama-agama lain.
Ruang-ruang untuk perbincangan mestilah dibuka dan dikendalikan dengan keadaan
yang baik dalam suasana dan semangat setiakawan.
YAB Perdana Menteri telah melahirkan keyakinannya, katanya:“ Islam sebenar yang
toleran, berkebajikan dan yang utama mengajarkan keamanan antarabangsa,
keselamatan dan kerjasama akan melonjak. Orang-orang Islam di mana-mana
sahaja bukan sahaja mempunyai kewajipan untuk mengembalikan kegemilangan
Islam, bahkan menganjurkan rasa saling bersama antara satu sama lain di kalangan
agama-agama di dunia.” [Ucapan YAB Perdana Menteri, Asia Society of Australia,
Sydney, Australia, 8 April 2005]
Apa yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri adalah berlandaskan kepada ajaran
Islam yang menganjurkan keamanan, kedamaian, dan kesejahteraan.
Pembangunan Ekonomi yang Komprehensif dan Seimbang
Malaysia adalah sebuah masyarakat berbilang kaum yang sentiasa hidup dalam
aman dan harmoni, penuh dengan perasaan saling menghormati dan bertoleransi.
YAB Perdana Menteri telah menekankan bahawa perkara ini tercapai bukanlah secara
kebetulan tetapi menerusi pengurusan hubungan etnik berlandaskan perkongsian
kuasa dalam pembentukan kerajaan dan penumpuan kepada pengurusan ekonomi
yang mampan serta pembahagian ekonomi yang seimbang. [Ucapan PM, Asia
Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan pembasmian kemiskinan dan
penyusunan semula masyarakat harus dilihat juga signifikannya dari sudut hubungan
etnik. Pencapaian DEB yang diharapkan iaitu 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam
6. semua bidang dan peringkat ekonomi akan memobilasikan Bumiputera untuk
bergerak maju dan berdaya saing seiring dengan bukan Bumiputera. Status sosial
dan pendapatan Bumiputera diharapkan akan setara dengan bukan Bumiputera.
Objektif penyusunan semula masyarakat yang menyumbang kepada pengukuhan
hubungan etnik akan dapat direalisasikan. Sebab itu, DEB harus dilihat signifikannya
daripada sudut hubungan etnik.
Pelan dan strategi pembangunan jangkamasa pendek dan panjang akan memberi
impak yang positif kepada keutuhan perpaduan kaum. Antara dasar berkaitan ialah
seperti Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar
Kependudukan Malaysia Ke Arah 70 Juta Penduduk, Dasar Pertanian Nasional Ketiga
(1998-2010), Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar, Dasar
Urbanisasi Negara (DUN), Dasar Sains dan Teknologi Negara dan Dasar Pendidikan
Kebangsaan.
Pembentukan dan kejayaan integrasi nasional sepatutnya juga dilihat kepada
pelaksanaan dan kejayaan Dasar Sosial Negara, Dasar Pembangunan Negara, Dasar
Ekonomi Baru, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan secara
komprehensif di mana setiap komponen masyarakat majmuk dan kerajaan turut
sama menyumbang dan berbakti. Semua dasar negara akan tercapai sekiranya
orang Islam memahami bahawa asas keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi adalah
pemangkin kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Kehidupan Berkualiti
Hubungan etnik yang baik akan menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti.
Berdasarkan kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia, kita dapati hubungan etnik boleh
dikaitkan dengan banyak perkara dalam kehidupan kita. Indeks Kualiti Hidup
Malaysia merangkumi 11 aspek, iaitu:
(i) Dunia pekerjaan – Hubungan etnik boleh dimantapkan dengan menjalin hubungan
yang baik di tempat kerja. Dalam aspek pekerjaan, semua kaum mendapat peluang
yang sama rata untuk memberikan tenaga dan bakti dalam apa jua profesion.
(ii) Pengangkutan dan komunikasi – Kemalangan jalan raya kadangkala
mengakibatkan perbalahan berasaskan sentimen etnik. Ini perlu dielakkan, biarlah
mahkamah menentukan sesiapa yang bersalah ataupun tidak. Berbudi bahasa dan
bersopan santun di jalan raya dan ketika menggunakan pengangkutan awam adalah
amalan mulia dan amalan kesedaran sivik yang tinggi. Alat telekomunikasi seperti
faksimili, telegraf, e-mel dan SMS boleh menyumbang kepada pengukuhan
hubungan etnik.
(iii) Kehidupan berkeluarga – Individu yang baik dan beradab akan melahirkan
keluarga yang baik. Keluarga yang baik akan melahirkan komuniti dan masyarakat
yang baik. Masyarakat yang baik adalah pemangkin kepada kemajuan dan
kesejahteraan negara. Di Malaysia, walaupun keakraban keluarga semakin baik,
setiap ahli keluarga perlulah mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga
kelompok etnik yang lain.
(iv) Keselamatan dan ketenteraman awam – Rakyat pelbagai kaum mestilah sama-
7. sama memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara dan
mengelakkan daripada menjadi pencetus kepada perselisihan faham ataupun konflik
etnik, menimbulkan provokasi ataupun isu-isu sensitif.
(v) Pendapatan dan pengagihannya – Kita mendapat tempat untuk mencari rezeki
hasil daripada kemakmuran dan kesejahteraan negara yang diusahakan pemerintah
dan rakyat dengan izin Allah s.w.t. Tidak lagi timbul rasa cemburu dan iri hati kerana
kita sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Wang
pembayar cukai digunakan untuk membangunkan keluarga, masyarakat dan juga
negara.
(vi) Kesihatan – Isu-isu seperti HIV AIDS, dadah, sakit jantung dan kanser
melibatkan semua kaum. Kita mesti bersatu untuk memerangi dan menanganinya.
(vii) Pendidikan – Bidang pendidikan sendiri sama ada di peringkat rendah,
menengah dan tinggi adalah satu wadah yang boleh digunakan untuk
menyatupadukan kaum. Secara teorinya, semakin tinggi pendidikan seseorang itu,
semakin tinggilah juga kesedaran dan amalan dalam memperkasa hubungan etnik
dan intra etnik. (viii) Perumahan – Terdapat kecenderungan pembeli rumah membeli
rumah di kawasan kelompok etnik sendiri. Sikap ini perlu dibendung kerana ia boleh
mengwujudkan polarisasi kaum. Banyak kawasan perumahan yang mempunyai
pelbagai kelompok etnik. Maka usaha perlu dijalankan untuk memperkukuh
hubungan etnik di kawasan kediaman terlebih dahulu.(ix) Alam sekitar – Isu alam
sekitar sebaiknya ditangani secara bersama. Kempen gotong royong pembersihan
taman perumahan yang melibatkan pelbagai kelompok etnik boleh mengwujudkan
semangat dan sikap kerjasama berkumpulan dan tolong menolong.(x) Penglibatan
sosial – Kerja-kerja sukarela sama ada di peringkat komuniti dan masyarakat boleh
mewujudkan sikap sayang menyayang dalam konteks hubungan etnik. Begitu juga
kerja sosial dan pembangunan komuniti dan masyarakat.(xi) Budaya dan hiburan –
Program kebudayaan dan hiburan yang melibatkan penyertaan pelbagai kelompok
etnik mestilah sentiasa digalakkan kerana ia boleh memperkukuhkan hubungan
etnik.Sukan ternyata boleh mewujudkan semangat patriotisme yang tinggi di
kalangan rakyat Malaysia sekali gus mempereratkan hubungan kaum dan integrasi
nasional. Sudah ada langkah-langkah menggunakan sukan sebagai alat untuk
memupuk hubungan kaum yang erat. Orang Cina sudah ada yang bermain sepak
takraw yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu. Orang Melayu sudah bermain
bola keranjang walaupun sebelum ini sukan ini didominasi oleh orang Cina. Kita
perlu sukan yang boleh menaikkan imej negara di persada antarabangsa.
Badminton, hoki, bola sepak dan squasy adalah di antara sukan yang boleh
membangkitkan perasaan patriotisme rakyat.Orang boleh menangis kesedihan kalau
negara kalah dalam sesuatu jenis sukan, dan begitu juga orang boleh menangis
kegembiraan kalau negara menang dalam sesuatu jenis sukan.
Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
Islam telah lebih 1400 tahun yang lampau memperjuangkan konsep hubungan etnik
dan hak-hak asasi manusia. Islam menjamin hak-hak bukan Islam dan warga dunia.
Jaminan ini akan memperkukuhkan hubungan etnik di negara yang diperintah oleh
orang Islam. Pengisytiharan Universal Islam Mengenai Hak-hak Asasi Manusia di
Paris pada September 1981 antara lain mengiktiraf hak-hak manusia untuk hidup,
hak kebebasan manusia, hak persamaan dan larangan diskriminasi terlarang, hak
8. keadilan, hak perbicaraan yang saksama, hak mendapat perlindungan daripada
penyalahgunaan kuasa, hak perlindungan daripada penyeksaan, hak perlindungan
maruah dan reputasi, hak pelarian, hak-hak minoriti, hak dan obligasi untuk
menyertai pengurusan hal ehwal awam, hak untuk menganut mana-mana agama
dan berucap, hak amalan keagamaan, hak untuk berkumpul dan menubuhkan
persatuan, hak melakukan aktiviti ekonomi, hak perlindungan harta benda, status
dan maruah pekerja, hak keselamatan sosial, hak berkeluarga dan yang berkaitan
dengannya, hak wanita yang telah berkahwin, hak pendidikan, hak ‘privacy ‘ dan hak
bergerak dan menginap.Kumpulan minoriti terdiri daripada golongan bukan Islam,
anak yatim, warga emas, kanak-kanak istimewa, orang kurang upaya, fakir miskin
dan ibu tunggal. Prinsip ini menampilkan hak-hak kumpulan minoriti dan wanita
akan dijaga dan dibela serta memastikan mereka berada dalam arus perdana
kemajuan dan pembangunan negara.
Keutuhan Budaya dan Moral
Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersama-sama memerangi elemen
negatif budaya dan pemikiran Barat yang bertentangan dengan nilai agama dan
ketimuran. Budaya dan moral bangsa Malaysia mestilah dipertahankan demi
keutuhan budaya kebangsaan dan menghalang ia daripada dicemari oleh budaya
yang merosakkan akhlak dan moral serta budi bahasa rakyat Malaysia.Budaya dan
moral yang kuat lagi jitu adalah pemangkin dalam usaha kita menjadi negara maju
dan ke arah pencapaian Wawasan 2020. Nilai-nilai murni dan budi bahasa rakyat
Malaysia adalah di antara identiti rakyat Malaysia yang mesti dipertahankan
walaupun kita sudah moden dan membangun. Ketua keluarga mestilah memastikan
keutuhan budaya dan moral ahli keluarga masing-masing. Pemimpin masyarakat
pula bertanggungjawab terhadap masyarakat masing-masing. Kerajaan ingin
wujudkan masyarakat yang mempunyai personaliti unggul (towering personality)
agar bangsa Malaysia dapat duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa
lain. Personaliti unggul terletak pada diri dengan kekuatan hemah yang tinggi,
berilmu pengetahuan tinggi, tinggi pencapaian, ketokohan dan keintelektualan.
Perayaan-perayaan kaum di Malaysia boleh menjadi satu mekanisme memupuk semangat
muhibah di kalangan masyarakat berbilang kaum. Bagi orang Islam, amalan kunjung
mengunjung ke rumah kaum lain ketika perayaan tertentu bukanlah bermakna merestui
sistem kepercayaan agama lain, tetapi lebih sebagai satu amalan mengeratkan perasaan
saling menghormati, persefahaman dan persahabatan dengan kawan-kawan lain walaupun
yang bukan seagama dengan mereka. Ini patut dijadikan budaya hidup kita.
Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar
Rakyat Malaysia pelbagai kaum mestilah sama-sama memelihara dan memulihara alam
sekitar demi kepentingan bersama dan untuk generasi akan datang. Alam sekitar dan
persekitaran yang kondusif bersekali denan penjagaan kesihatan yang sempurna akan
memastikan masyarakat yang sihat, kuat dan sejahtera.
Rakyat Malaysia mestilah memperjuangkan isu-isu alam sekitar mengikut saluran yang
betul dan peraturan dan benar-benar ikhlas demi kepentingan negara, bukannya
9. kepentingan peribadi atau kelompok berkepentingan tersendiri.
Kempen gotong royong kebersihan dan seumpamanya di kawasan penempatan
masyarakat berbilang kaum boleh mempupuk perasaan muhibah, kasih sayang dan
tolong menolong.
Kekuatan Pertahanan
Program Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) sudah menunjukkan tanda-tanda
penumpuan dan perkembangan integrasi nasional, perpaduan kaum dan semangat
patriotisme. Generasi muda perlu disedarkan tentang keperluan mempertahankan
kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh. Mungkin sudah ada usaha
sedemikian di peringkat pendidikan rendah yang lebih bersifat kekuatan
jatidiri.Penyertaan kelompok etnik bukan Melayu dalam pasukan beruniform seperti
Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia masih di tahap yang rendah dan
perlu dipertingkatkan.Penyertaan berbagai-bagai kelompok etnik dalam Ikatan
Sukarelawan Rakyat (RELA) dan pasukan Pertahanan Awam boleh dibanggakan. Ini
juga boleh memantapkan perpaduan kaum. ”Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”
adalah pepatah yang melambangkan perpaduan dan kerjasama. Jika dikaitkan
dengan kekuatan pertahanan, maka asas kepada persefahaman yang utuh ialah
perpaduan yang jitu.Perumpamaan ”bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat” menggambarkan signifikan kerjasama berkumpulan,
bermesyuwarah dan saling memahami serta tolong menolong. Tanpa muafakat dan
terlalu banyak persengketaan akan menyebabkan negara kita mudah untuk
ditewaskan oleh musuh.”Menang sorak, kampung tergadai” menggambarkan bahawa
yang penting ialah “substance” (isi) bukannya slogan atau cakap-cakap kosong. Kita
perlu mengotakan apa yang telah dijanjikan dan konteks sayangnya kita kepada
negara dan para pemimpin. Rakyat Malaysia berbilang kaum mestilah menanam
dalam diri mereka prinsip ”biar putih mata, jangan putih tulang” dalam konteks
pertahanan negara.
Semua bangsa mestilah menanam dalam diri mereka semangat dan sikap sayangkan
negara dan sanggup mempertahankannya ke titisan darah terakhir dan sentiasa
komited sebagai warganegara yang baik dan berguna. Dalam Islam, orang yang
mempertahankan negara dan mati kerana mempertahankan agama dan negara
diberi penghormatan tinggi oleh Allah. Iklan TV3 ”Ikan di laut, asam di darat”
membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum boleh menjalin
hubungan baik dan bersatu padu. Media massa adalah mekanisme paling berkesan
untuk memupuk perasaan muhibah dan hubungan etnik yang positif. Sebab itu
media massa perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk memupuk integrasi
nasional dan perpaduan kaum bukannya perpecahan dan polarisasi.
Bantuan-bantuan kemanusian (humanitarian) terhadap mangsa peperangan atau
malapetaka alam menonjolkan ciri terbaru hubungan etnik yang menjangkau batas
geografi dan sempadan antarabangsa. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum telah
sama-sama menyumbang bagi membantu mangsa gempa bumi di China, taufan di
Myanmar, mangsa perang Amerika-Iraq, mangsa gempa bumi di Kashmir dan
malapetaka Tsunami, dan lain-lain lagi. Kesimpulannya, pendekatan Islam Hadhari
diperkenalkan bertujuan untuk membawa perubahan kepada mentaliti dan sikap
masyarakat serta peralihan kepada yang lebih baik dalam konteks kemajuan dan
pembangunan negara. Pendekatan ini akan membawa pembaikan dalam semua
10. aspek kehidupan untuk menuju ke arah sebuah masyarakat dan negara maju dan
mencapai objektif Wawasan 2020.
Orang bukan Islam tidak perlu bimbang terhadap pendekatan ini kerana ia akan
membawa kebaikan kepada semua golongan tanpa mengira perbezaan agama dan
etnik.
Editor • June 13, 2008
http://islamhadhari.net/?p=27